
Sering kali, AI dilihat sebagai ancaman atau cabaran besar dalam bidang pendidikan. Antara isu yang paling ketara adalah penyalahgunaan AI untuk menghasilkan karya akademik secara 100%, seperti tugasan, kertas kerja, atau menjawab kuiz secara tidak beretika. Namun, mengapa kita tidak melihat AI dari sudut pandangan yang berbeza?
Teknologi akan terus berkembang, dan tugas kita bukanlah untuk menghalang atau bermusuhan dengan teknologi, tetapi untuk memanfaatkannya dengan cara yang betul dan beretika. Sebagai seorang pensyarah dan juga trainer AI yang kerap memberikan latihan kepada agensi kerajaan dan bidang pendidikan, saya sentiasa menekankan bahawa peranan saya adalah untuk memberikan panduan dan cadangan kepada pensyarah dan pelajar tentang cara memanfaatkan AI dengan bijak.
Sebagai contoh, pelajar-pelajar saya yang mengambil subjek ITC (Information Technology and Communication) bukan sahaja mendapat markah yang cemerlang, malah berjaya mendapat tawaran gaji yang jauh lebih tinggi berbanding graduan lain semasa temuduga. Ini kerana dalam pengajaran saya, saya mengintegrasikan elemen AI sebagai sebahagian daripada subjek umum yang diajar kepada semua kursus. Saya mengajar mereka bagaimana AI boleh diaplikasikan dalam kursus masing-masing, termasuk cara AI dapat membantu mereka dalam persediaan temuduga dan semasa tempoh internship.
Melalui penggunaan AI, pelajar-pelajar saya dapat memahami aliran kerja dengan lebih cepat dan menunjukkan kemampuan yang luar biasa, sehingga majikan terkejut melihat kerja-kerja yang sebelum ini dianggap sukar dilakukan oleh pelajar senior dapat diselesaikan oleh pelajar junior dengan pantas dan berkualiti. Saya juga mengajar para bos atau pengurus tentang bagaimana AI dapat digunakan untuk mempercepatkan kerja dan meningkatkan produktiviti, bukan sahaja di peringkat pelajar, malah di peringkat pengurusan tertinggi.
Bagi pensyarah pula, saya tunjukkan bahawa AI bukan sekadar alat untuk menghias atau membina slaid. AI boleh digunakan untuk berbagai-bagai tugas, seperti:
– Membantu dalam pembinaan soalan peperiksaan dan semakan jawapan.
– Membantu mempelbagaikan kandungan pembelajaran.
– Menghasilkan kuiz, tugasan, atau “learning steps” untuk pelajar.
– Memahami tahap pemahaman pelajar dan menyesuaikan modul pengajaran agar lebih mudah difahami.
– Menggunakan alat-alat asas (walaupun bukan alat AI) yang sudah ada dalam PC atau boleh dimuat turun dengan mudah untuk mempercepatkan kerja sehingga 60-70%.
Saya mengajak para pendidik, pelajar, dan pihak pengurusan syarikat untuk melihat AI dari sudut pandangan yang positif. AI adalah peluang, bukan ancaman, jika digunakan dengan betul dan beretika.
https://roracademyai.com/mengenali-sir-syah/





